kisah hati

 Berhari- hari aku berusaha mengutip sisa - sisa kekuatan yang berterbangan saat perkhabaran itu menyapa telinga. Sehingga baru hari ini aku berupaya untuk mengabadikan coretan ini. Sungguh aku terkejut! Sehingga berkali - kali aku bertanya, meminta kepastian. Di luar sedar air mata sudah mencurah - curah.

Rasanya ini mungkin post yang pertama berkaitan dengannya. Ajnabi pertama di hatiku. Aku tak pernah bercerita tentangnya, malah tak pernah terlintas di hatiku untuk bercerita tentangnya kerana bagiku ianya terlalu peribadi dan perkara peribadi tak perlu aku uar - uarkan di sini. Tapi hari ini, saat ini, aku tekad untuk berkongsi cerita. Yang aku kesalkan, kisah ini bukan kisah gembira, tetapi cerita air mata. Moga - moga ianya dapat memberi iktibar buat insan yang lain yang kebetulan terbaca kisah ini.

Ahad - 27 November 2011 - 1 Muharam 1433H.

Mama tercintanya pergi menghadap Illahi. Mujur dia sempat berada di sisi arwah mama  tercinta saat itu. Sungguh aku takut. Takut dia sukar menerima hakikat. Takut dia terperangkap dalam perasaan. Kerana setahu aku, dia terlalu rapat dengan allahyarhamah, bahkan terlalu manja. Sepanjang aku dengannya, sudah banyak cerita tentang allahyarhamah yang aku dengar. Sehinggakan aku begitu teringin untuk mengenali wanita itu. Berkali - kali juga dia mempelawa aku menemui ibunya, tetapi aku yang menolak. Alasanku, aku masih belum bersedia. Sungguh aku kesal. Tidak sempat menemui allahyarhamah. Mempunyai ibu mertua itu adalah impian aku. Sudah banyak perkara yang aku impikan untuk dilakukan bersamanya. Namun, manusia hanya mampu merancang. ALLAH jua yang maha mengetahui.

Saat dia dilanda musibah, aku tidak berupaya berada di sisinya. Sungguh aku rasa terkilan. Aku rasakan aku seorang loser. Aku tak mampu berada di sisinya saat dia bersedih. Aku tak mampu menenangkan  perasaannya. Kerana itu, aku emosi. Aku sangat kesal kerana aku tidak berupaya melakukan apa - apa untuknya. Aku sangat takut dia tidak dapat menerima keadaan ini. Tetapi ternyata aku tersilap menghitung. Ahmad Hafizi Nordin itu terlalu cekal hatinya, kuat semangatnya. Begitu tabah menerima setiap ujian yang datang menduga. Malah, dia juga yang menenangkan hatiku, menasihatiku. Sedangkan sepatutnya aku yang menenangkannya, sebaliknya aku yang lebih emosi. Jangan tanya kenapa aku yang terlebih emosi. Sebab aku sendiri tak tahu. Sesungguhnya ALLAH tidak akan menguji seseorang hamba-Nya dengan ujian yang tak mampu dihadapinya. Itu yang dia pesan padaku. Berkali juga dia berpesan, hargailah ibu bapa kita sementara kita masih punya. Terlalu banyak pesanannya. Kerana itu juga aku semakin jatuh cinta. Jatuh sayang. Moga - moga dia benar - benar tercipta untukku. Moga - moga dia adalah jodoh yang ditakdirkan untukku. Itu harapanku dan dia, tapi sesungguhnya percaturan ALLAH itu lebih baik..