Dugaan-Nya

Sudah hari ketiga. Semangat yang awalnya berkobar-kobar kini makin kurang. Dugaan terlalu banyak. Bahkan hari pertama pun aku sudah tewas dengan tuntutan nafsu. Mujur hari kedua, akal mendahului hati. Alhamdulillah. Mudah - mudahan hari - hari seterusnya juga akal masih berkuasa.

Orang kata, kalau tengah lapar, kita mudah  naik darah. Betulkah? Entah. Mungkin ya, mungkin tidak. Jawapannya ada pada diri sendiri. Kerana terbiasa dengan hasutan syaitan, amarah menguasai diri walaupun hakikatnya semua sudah dirantai. Inilah masanya untuk mengenalpasti apakah selama ini kita termakan dengan bisikan - bisikan mungkar itu dan ternyata sedikit sebanyak jiwa sudah terdidik dengan amalan yang nyata harus dihindar. Tentu mereka sedang bersorak. Gembira ada anak adam yang tewas di tangan mereka. Nauzubillah. Mohon aku tidak termasuk dalam golongan itu. Namun usah khuatir. Kerana masih ada masa untuk tarbiyah. Masih ada waktu untuk berubah. Selama masih ada nyawa, selama itu masih terbuka peluang. Rebutlah sebelum sesal.

Sebetulnya ada peristiwa yang menyentap hati. Yang aku kira, tidak sesuai diceritakan di sini. Takut - takut timbul fitnah walau itu bukan niatku. Takut - takut juga niat asal melencong untuk cuba meraih simpati hingga rempah ratus ditambah demi memperhebat cerita yang tidak seberapa. Kalau ikut seruan hati, mahu aku katakan yang aku ini insan terbuang. Dikutip bila perlu, dicampak bila senang. Ditimang bila sunyi, dibuang bila ada yang menemani. Tempat curahan rasa. Tempat melempiaskan amarah. Dalam lautan kasih yang melimpah, aku sebenarnya masih menagih secebis rasa sayang. Sejak dulu lagi. Entah apa lagi harus aku lakukan demi diberi sedikit perhatian. Mungkin ada yang mengatakan aku insan tidak tahu bersyukur. Bukan. Bukan aku tidak tahu bersyukur. Tapi hati ini lebih tahu. Telinga yang mendengar dan mata yang melihat takkan sama dengan hati yang merasa. Jadi, jangan bicara sembarangan. Seharusnya aku tidak mengeluh bila ditimpakan ujian. Kerana menimpakan ujian itu adalah ALLAH. Seharusnya aku bersyukur kerana ALLAH masih ingin menguji aku. Bukti DIA masih kasih padaky. Mungkin kerana aku terlalai seketika dalam menempuh hidup ini. Kerana itu, ALLAH turunkan ujian supaya aku bisa mengukur sejauh mana aku akur dengan perintah-NYA selama ini. Alhamdulillah.

Aku tak perlu simpati. Juga tak mahu dikasihani. Cukup sekadar ada yang sudi meminjamkan kata - kata semangat buatku. Cukup sekadar ada bahu yang sudi dipijamkan buat aku mengaut kekuatan. Walau hanya secebis demi meneruskan hidup dengan hati yang cukup lemah. Kerana aku memang tidak cukup kuat untuk melawan kata hati yang kejam. Takut - takut suatu hari aku tewas. Mohon dijauhkan. Nauzubillah. Moga ada iktibar yang dapat diambil dari luahan hati yang kusut. Moga taipan ini tidak sia - sia. InsyaALLAH.

0 comments:

Post a Comment